Salam sahabat. Salam mesra. Salam 1Malaysia. Bertemu sekali lagi dalam coretan dan nukilan untuk direnung dan difikirkan. Kali ini, kita telusuri kaedah dan cara menjadi pemimpin yang dihormati kerana jati diri. Yang disegani kerana kredibiliti. Yang kukuh pendirian. Yang sanggup menghadapi gelora cabaran dan rintangan. Bagaimana? Fahami dan hayati coretan hati berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang tidak seberapa ini...
Wahai Pemimpin...
Telah terbeban di atas bahu kamu amanah dan tanggungjawab. Anda sedar? Anda tahu maksud amanah yang tergalas di atas bahu anda? Anda tahu tanggungjawab yang perlu anda laksanakan? Kalau anda tahu dan sedar, anda merupakan pemimpin yang berjaya. Kalau tidak, Layakkah anda digelar pemimpin? Mampukah anda memimpin dan dipimpin? Ya, bukan mudah. Bukan senang. Berat. Sebelah kaki di neraka kawan. Sedar tak teman?
Tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin ini besar. Cabaran paling besar, memimpin diri sendiri. Kenapa? Kerana, kalau diri sendiri pun tak boleh dipimpin, gagal dipimpin, inikan pula nak memimpin orang lain. Membawa seramai mungkin insan yang ada ke jalan yang lurus. Jalan yang betul haluannya. Jalan yang betul perjuangannya. Tidak menyimpang ajarannya. Bukan jalan menuju kehinaan. Bukan jalan yang menuju kehancuran. Hayati semula niat sebenar anda menjadi pemimpin. Adakah kerana sekadar ingin dikenali? Dihormati? Fahami kembali erti perjuangan sebenar.
Duhai Pemimpin di kalangan Pemimpin...
Tergalas di bahu kamu satu bebanan. Melebihi beratnya amanah pemimpin. Melebihi besarnya tenggungjawab pemimpin. Saat anda dibebankan dengan amanah itu di atas bahu, anda perlu segera sedar dari mimpi. Segera bangkit dari fantasi. Anda bukan lagi insan biasa. Anda hebat. Anda gah. Anda besar. Anda berkuasa. Anda LAYAK. Jangan sesekali alpa dan lupa. Besar tanggungjawab tu teman. Sedar sikit ye kawan. Takut? Kenapa? Sampai bila nak jadi lembu dicucuk hidung? Hadapi ketakutan tu. Bina jati diri setinggi mungkin. Terima amanah yang diberi. Tak perlu mengelak. Jadi berani. Kerana anda merupakan PEMIMPIN dikalangan PEMIMPIN...
Tapi ingat sikit. Jangan bangga sampai lupa diri. Jangan salahguna kuasa yang ada. Jangan menindas orang yang dipimpin. Besar mana pun pangkatnya, ingatlah bahawa ada yang lebih berpangkat dari anda. Kalau anda rasa berkuasa, ada yang lagi berkuasa. Pangkat dan kuasa tak lama kawan. Ada yang baru akan menggantikan kita. Dalam masa yang ada, dengan kuasa yang ada, gunalah sebaik mungkin. Gunakan dengan bijak. Takut nanti, tak pasal-pasal kena pijak.
Wahai golongan yang dipimpin...
Hormati ketua anda. Hormati pemimpin anda. Walau siapa pun dia. Adat orang bawah mengikut kata atasan. Jagan tutup pintu hati yang dah sedia gelap tu. Ini tak, ego tinggi mengalahkan KLCC. Lagak sombong macam hebat. Tapi sudahnya, habuk pun tarak... Buka hati tu luas-luas. belajar untuk dipimpin. Satu hari nanti, yang dipimpin tak mustahil akan memimpin. Hidup kan ibarat roda. Hari ni tolong orang, esok-esok orang tolong kita. Tapi kalau dah hari ni asyik dok buat taik dengan orang, esok-esok taik lembu melekat kat muka. Baru padan muka.
Eh, bangga pulak pemimpin-pemimpin kita ni kan. Ingat sikit ye. Anda juga tergolong dalam golongan yang dipimpin. Kan telah tersurat sekian lama bahawa pemimpin itu merupakan golongan yang boleh memimpin dan dipimpin. Ha, baru sedar? Macam tu la lumrah dunia. Kalau semua nak jagi pemimpin, memang perang tak berhenti la jawabnya. Tapi benda senang macam ni la yang orang kita susah sangat nak faham. Dok bertelagah sama sendiri. Kejar kuasa. Kejar harta. Kejar nama. Apo kono eh jang?
Renung-renungkanlah selagi ada masa. Takde orang boleh ubah kita kalau kita sendiri taknak ubah diri kita. Pegang erat-erat amanah yang diberi. Laksanakan sehabis baik tanggungjawab yang diberi. Bukan apa, takut bila disoal kemudian nanti terlopong menganga tak tau nak jawab apa.
Salam gemilang. Salam motivasi. Wassalam...

0 comments:
Post a Comment